Sunday, 4 September 2011

Berita Harian Online | Syarat tambahan bela wanita

Berita Harian Online | Syarat tambahan bela wanita

Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
2011/09/05

Lafaz taklik jamin hak isteri ketika hadapi masalah rumah tangga

KUALA LUMPUR: Wanita berdepan dilema pandangan serong masyarakat terutama keluarga bakal mentua, yang menganggap mereka sebagai terlalu berkira apabila bertindak memasukkan syarat tambahan dalam lafaz taklik.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata ini berikutan pelaksanaannya masih janggal di Malaysia sehingga menyebabkan perkara berkenaan dilihat lebih bersifat ‘demand’ walaupun sebenarnya dibenarkan Islam, malah bukan perkara pelik di negara Arab.
Pada masa sama, katanya, wanita sendiri harus celik serta memahami hak mereka yang dilindungi undang-undang Islam, sekali gus sentiasa beringat sebagai jaminan masa depan masing-masing.

Beliau berkata, ramai wanita tidak mengambil tahu kepentingan perkara itu ketika gembira atau teruja untuk berkahwin, sehinggalah mereka kemudian menghadapi masalah rumah tangga.

“Masyarakat perlu mengubah tanggapan serong, sebaliknya berpandangan positif selagi syarat tambahan itu tidak melanggar syarak kerana ia memang dibolehkan dalam Islam untuk melindungi kebajikan wanita selepas berkahwin.

“Perkara itu tidak menganiaya mana-mana pihak berikutan ia dibuat atas persetujuan bersama pasangan yang ingin berkahwin. Sebagai contoh, syarat tambahan berhubung berpoligami, ia tidak dihalang, tetapi suami mesti memaklumkan, bertindak adil dan isteri bersedia.
“Bagaimanapun, wanita dinasihat berhati-hati ketika meletakkan syarat tambahan dalam lafaz taklik supaya tidak menjerat diri mereka pada masa depan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.

Akhbar ini Rabu lalu melaporkan wanita boleh meletakkan syarat tambahan termasuk tidak membenarkan suami berpoligami atau melarang isteri bekerja, dalam lafaz taklik untuk memastikan kebajikan dan nasib mereka selepas berkahwin terjamin.

Pengarah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Dr Mohd Na`im Mokhtar berkata syarat tambahan itu dibenarkan, tetapi jarang digunakan kerana wanita tidak mengetahui atau tidak didedahkan mengenainya.

Penolong Profesor di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Normi Abdul Malek, pula berkata maklumat peruntukan syarat tambahan mengikut Undang-Undang Keluarga Islam wajar dimaklumkan kepada bakal pasangan suami isteri ketika menjalani kursus kahwin.

“Ini boleh mengelak timbul isu bakal pengantin wanita tiada pengetahuan atau maklumat berhubung hak diperuntukkan dan mereka dapat berbincang dengan pasangan masing-masing untuk persetujuan bersama menjelang perkahwinan,” katanya.

Pendakwah bebas yang juga bekas Penasihat Agama Istana Negara, Datuk Hassan Din Al-Hafiz, berkata wanita tidak boleh meletakkan syarat menghalang bakal suami berpoligami kerana Islam mengharuskannya.

“Wanita boleh meletakkan syarat bahawa ia dibolehkan dalam keadaan tertentu yang diharuskan syarak seperti isteri mandul serta dibenarkan mahkamah, bagi memastikan suami tidak berpoligami dengan sewenang-wenang,” katanya.

Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata setiap pasangan bakal pengantin harus lebih mengutamakan amanah, tanggungjawab serta keyakinan dalam perkahwinan sebagai anugerah Allah SWT, berbanding `mengikat’ dengan pelbagai syarat dalam lafaz taklik.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata lafaz taklik lazim yang sedia ada pada Surat Perakuan Nikah sudah memadai, tetapi aktiviti untuk meningkatkan pemahaman wanita terhadap hak mereka harus diperhebat.

1 comment:

  1. sekadar nk beritahu bahawa mmg dalam Islam dibenarkan para wanita memasukkan lafaz taklik tambahan sebelum berkahwin dgn pasangannya selagi permintaan itu tidak keterlaluan.... ;)

    sekurang2nya nasib isteri akn terbela apbl sudah berkahwin nnt!!!!!!!!!!!!!!!!

    ReplyDelete